HIDS Refference

Tajuk : Peristiwa Penentangan Pemimpin Tempatan.

Senarai Tokoh :

1) Raja Haji

2) Penghulu Dol Said

3) Tok Janggut

4) Paduka Mat Salleh

5) Datuk Bahaman

6) Rentap

_______________________________________________________________________________________________________

1) RAJA HAJI

tarikh Peristiwa pada 1784-05-16

RAJA HAJI MENYERANG BUKIT CHINA DAN TERANGKERA

http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=6382

Pada hari ini dalam tahun 1784, Raja Haji, seorang pahlawan Bugis yang terkenal telah menyerang Bukit China dan Terangkera di Melaka yang ketika itu di bawah penguasaan Belanda. Mulai tahun 1782, Raja Haji telah bermusuh dengan Belanda. Belanda telah mungkir janji tidak mahu membahagi dua harta rampasan yang mereka dapati, iaitu candu yang telah dirampasnya daripada sebuah kapal Inggeris di perairan laut Riau. Sejak itu Raja Haji mula menyerang kapal-kapal Belanda yang belayar di Selat Melaka dan mengganggu perniagaan orang-orang Belanda. Sementara itu Belanda juga selalu menyerang Riau dan angkatan perang Raja Haji. Permusuhan antara kedua belah pihak ini telah berlanjutan dari tahun 1782 hingga 1784. Pada bulan Februari 1784, Raja Haji membuat serangan belas ke atas Melaka, dengan bantuan dari orang-orang Bugis dan Sultan Ibrahim dari Selangor. Pada hari ini dalam tahun 1784, Raja Haji menyerang pula Bukit China, sementara askar Sultan Ibrahim serta orang-orang Rembau pula menyerang Terangkera. Serangan juga dilakukan ke atas tempat-tempat seperti Punggor, Duyung, Pernu, Ujong Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir dan Tanjung Keling, menyebabkan Melaka terkepung dan bantuan makanan terputus. Melaka hampir jatuh ke tangan Bugis, tetapi Belanda dapat mempertahankan Melaka dengan bantuan seramai 2,130 orang askar dari Betawi yang diketuai oleh Jacob Peter Van Braam.

2) PENGHULU DOL SAID

Tarikh Peristiwa 1832-06-15

http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=8830

PERANG NANING BERAKHIR

Pada hari ini dalam tahun 1832 peperangan di antara pihak Kerajaan Inggeris di Melaka dengan Naning yang lebih dikenali sebagai Perang Naning berakhir. Peperangan ini dikatakan berpunca daripada keengganan orang-orang Melayu Naning membayar 1/10 daripada hasil pendapatan mereka kepada pihak berkuasa Kerajaan Inggeris di Melaka. Orang-orang Melayu Naning diketuai oleh Penghulunya, Dato’ Naning Abdul Said atau Dol Said. Setelah beberapa kali gagal memujuk Dato’ Naning supaya membayar ufti 1/10, pada bulan Julai 1831, satu pasukan seramai 150 orang askar Sepoi dengan dua buah meriam telah dihantar oleh kerajaan Inggeris ke Naning untuk menghancurkan pasukan Dato’ Naning dan orang-orangnya. Askar-askar ini telah ditentang dan dikalahkan oleh orang-orang Dato’ Naning dengan bantuan daripada orang-orang Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban, menantu Raja Ali. Serangan ini adalah merupakan serangan yang pertama.  Inggeris sedar bahawa kekuatan Naning dan Rembau tidak mudah dikalahkan. Oleh itu. dari bulan September, 1831 hingga Januari 1832 beberapa siri rundingan di antara Raja Ali dari Rembau dan pihak kerajaan Inggeris di Melaka telah diadakan dan akhirnya pada 28 Januari, 1832 satu perjanjian telah dipersetujui dan ditandatangani. Mengikut perjanjian tersebut, kedua-dua pihak bersetuju tidak akan menyerang di antara satu sama lain dan Rembau diiktiraf sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran kerajaannya. Sebagai ganjaran, Raja Ali menarik balik pasukannya daripada Naning dan mengurangkan kekuatannya kepada kira-kira 600 orang dan beberapa bulan kemudian bergabung dengan pasukan Inggeris.  Pada bulan April, 1832 pasukan Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban dan askar-askar Inggeris berjumlah kira-kira 1,200 hingga 1,400 orang yang diketuai oleh Kolonel Herbert menyerang Naning bagi kali yang kedua. Dalam serangan kali kedua ini, dan setelah berlaku beberapa pertempuran selama lebih kurang dua bulan, Taboh, ibu negeri dan pusat gerakan Dato’ Dol Said dapat ditawan dan Dato’ Dol Said serta pengikut- pengikutnya berundur.  Setelah berjaya kerajaan Inggeris tidak berniat untuk mentadbir Naning oleh kerana hasil mahsul-mahsulnya tidak akan dapat menampung perbelanjaan pentadbirannya. Raja Ali pula menolak tawaran supaya Naning dimasukkan ke dalam wilayah Rembau. Oleh itu Naning dimasukkan ke dalam pentadbiran wilayah Melaka. Jawatan Penghulu dan Suku dihapuskan dan seorang ‘Superintendent‘ yang berketurunan Belanda dan 15 orang ketua kampong dilantik bagi memungut cukai dan menjalankan undang-undang dan mengawal ketenteraman di daerah masing-masing.

3) TOK JANGGUT

Tarikh Peristiwa pada 1915-04-29

http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=8782

Pada hari ini dalam tahun 1915 bermulalah detik awal penentangan yang lebih dikenali sebagai Perang Tok Janggut untuk menentang sistem pentadbiran British di Kelantan. Ia mula tercetus apabila berlaku perbalahan di antara Tok Janggut dengan Sarjan Che’ Wan, seorang anggota Polis British yang berakhir dengan kematian Sarjan itu. Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hasan  telah mengepalai satu penentangan orang-orang tempatan di daerah Pasir Putih menentang pihak pentadbiran British yang telah menimbulkan rasa tidak puashati masyarakat tempatan pada masa itu. Campurtangan British di Negeri Kelantan pada awal abad keduapuluh telah menyebabkan berlaku beberapa perubahan dasar sistem pentadbiran di negeri tersebut. Pihak British telah memperkenalkan sistem-sistem cukai yang baru yang bercanggah dengan kebiasaan rakyat tempatan dan telah melantik pegawai-pegawai untuk menggantikan tempat pembesar-pembesar daerah tradisional. Kewujudan alat-alat pentadbiran dan campurtangan pihak British dalam pentadbiran Negeri Kelantan ini telah menggugat kedudukan pembesar-pembesar daerah serta menimbulkan kemarahan mereka yang selama ini memiliki banyak keistimewaan.  Di antara faktor-faktor lain yang membawa timbulnya penentangan ini ialah ketidakcekapan dan sikap tidak bertimbangrasa pihak pentadbiran Tanah Jajahan dan juga pegawai-pegawai tempatannya terutamanya  Encik Lattif iaitu Ketua Jajahan yang mentadbirkan daerah Pasir Putih. Beliau yang didatangkan oleh pihak British dari Singapura terlalu mengikut peraturan tugas dan kurang mengetahui sikap dan cara berfikir orang-orang tempatan; seorang yang bersikap British dan tidak mahu bercampur gaul dengan orang-orang tempatan.  Kemunculan Tok Janggut dan beberapa pembesar Melayu seperti Engku Besar  (Raja atau pemerintah Jeram), Encik Ishak dan Haji Said yang telah mengepalai gerakan ini telah membangkitkan semangat rakyat untuk turut sama menentang pentadbiran baru kerajaan itu. Setengah daripada pejuang-pejuang Melayu ini menganggap penentangan ini adalah sebagai perang menentang pihak kafir (perang sabil).  Dengan semangat ini orang-orang Melayu telah menentang pihak British yang dibantu oleh Pasukan Polis yang kebanyakannya datang dari Singapura. Walaupun pejuang-pejuang Melayu tidak mempunyai peralatan perang yang moden dan lengkap, tetapi mereka telah menentang dengan beraninya sehingga ketitisan darah terakhir.  Penentangan ini berlarutan sehingga akhir bulan Jun 1915 apabila pihak British dikatakan berjaya membunuh Tok Janggut dan beberapa orang pengikutnya. Engku Besar, Haji Said, Encik Ishak dan beberapa orang lagi telah lari ke Reman, Negeri Siam.

4) Paduka Mat Salleh

Tarikh Peristiwa pada 1897-07-09

http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=6740

Pada hari ini dalam tahun 1897, Paduka Mat Salleh, seorang Pahlawan dan pejuang pembebasan Sabah, telah menyerang dan memusnahkan pusat pentadbiran North Borneo Chartered Company di Pulau Gaya, Sabah. Serangan mengejut ini telah dilakukan pada jam 4.00 pagi dengan bantuan orang-orang Bajau dari Inanam dan Mengkabong.Punca penyerangan ini adalah akibat dari cadangan pihak Inggeris yang ingin membina jalan raya, jalan keretapi dan talian telegraf menghubungi  pantai Brunei dengan Pelabuhan Cowel. Cadangan ini telah mengakibatkan rasa tidak puas hati rakyat Sabah kerana pihak Inggeris mengambil tanah dan mengenakan cukai yang tinggi ke atas mereka bagi menampung kos pembinaan tersebut. Serangan Paduka Mat Salleh ini bukanlah yang pertama malah telah banyak serangan dilakukan terhadap pihak Inggeris antaranya pada tahun 1894 dan 1896 yang mana pihak Inggeris gagal mematahkan serangan-serangan tersebut. Dalam serangan di Pulau Gaya ini, seluruh pusat pentadbiran syarikat ini musnah sama sekali dan kerugian ditaksirkan kira-kira RM100,000. Akibat serangan tersebut pihak Inggeris telah mengambil tindakan balas dengan menyerang Inanam dan Aru untuk menangkap Mat Salleh tetapi gagal. Sebaliknya Mat Salleh telah mengatur serangan selanjutnya, sehingga beliau meninggal pada tahun 1900.

SERANGAN KE ATAS KUBU MAT SALLEH DI RANAU

Tarikh Peristiwa pada 1897-12-13

http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=4975

Pada hari ini dalam tahun 1897, Syarikat Inggeris Borneo Utara yang memerintah Sabah telah menghantar satu pasukan polis untuk menyerang Kubu Mat Salleh di Ranau bagi menghapuskan penentangan yang dilakukan oleh Mat Salleh. Mat Salleh adalah anak kepada Datu Balu dari Sulu. Sebelum tahun 1881, Pengiran dari Brunei dan Datu-Datu dari Sulu mempunyai kuasa ke atas sungai-sungai utama di Sabah dan menjalankan kutipan cukai ke atas peniaga-peniaga yang berulang alik. Kuasa memungut cukai telah juga diambil alih oleh Syarikat itu telah berkuasa memerintah Sabah. Dalam tahun 1894, Mat Salleh telah didapati memungut cukai di Sungai Sugut. Tindakan Mat Salleh itu telah diselesaikan semasa Mat Salleh datang ke Sandakan dan menemui Gabenor C.V.Creagh. Dalam bulan Ogos berikutnya, Mat Salleh telah datang ke Sandakan bersama-sama ketua-ketua kaum untuk membuat beberapa bantahan tetapi tidak dapat bertemu dengan Gabenor. Oleh kerana kedatangan Mat Salleh ke Sandakan lengkap dengan alat Senjata, lalu Gabenor telah mengambil keputusan untuk menangkapnya. Kampung Mat Salleh di Jambongan telah diserang dan dimusnahkan tetapi Mat Salleh berjaya melarikan diri ke Ulu Sungai Sugut. Serangan telah dilakukan ke atas Kubu Mat Ssalleh di Ulu Sungai Sugut dalam tahun 1896 dan awal tahun 1897 tetapi beliau tidak dapat ditangkap. Kemudian pemerintahan telah mendapat tahu bahawa Mat Salleh telah membina satu kubu yang kuat di Ranau dan mengambil keputusan untuk menyerang kubu tersebut. Pada 8 Januari 1898, pasukan yang lebih ramai telah didatangkan dari Sandakan dan serangan yang hebat telah dilakukan. Pada waktu malamnya, Mat Salleh serta pengikut-pengikutnya telah berjaya melepaskan diri. Akhirnya kubu di Ranau itu dimusnahkan. Mat Salleh kemudiannya telah membina tempat kediaman baru di Tambunan.

5) Datuk Bahaman

Tarikh Peristiwa pada 1892-03-09

http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=8724

Pada hari ini dalam tahun 1892, Dato’ Bahaman atau Orang Kaya Semantan,  menyerang dan menawan semula Lubuk Terua (satu tempat yang termasuk di dalam wilayahnya) dari kekuasaan Inggeris. Meletusnya penentangan Dato’ Bahaman secara aktif terhadap Inggeris adalah akibat dari tindakan gelabah C. E. B. Desborough (Pemangku Pemungut Hasil Semantan) menangkap tiga orang pengikut Dato’ Bahaman dengan tuduhan mengumpulkan hasil hutan tanpa izin. Penangkapan itu dilakukan ketika Desborough dan Townson (Merinyu Lombong) mengiringi satu pasukan Polis untuk memperkuatkan Balai Polis di Lubuk Terua, dan membawa ketiga-tiga tawanan itu untuk diadili di Lubuk Terua juga. Menyedari tentang hal itu, Dato’ Bahaman yang memang menentang keras pembinaan Balai Polis di kawasannya itu dan percaya bahawa pasukan itu datang untuk menangkap beliau, telah menyerang pasukan Desborough itu, membunuh tiga orang, melukakan beberapa orang yang lain lalu, membebaskan orang-orangnya. Selepas itu Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya menawan Balai Polis Lubuk Terua dan memusnahkan gudang-gudang bekalan makanan dan barangan kepunyaan Syarikat Lombong bijih Bentong dan Raub. Sebelumnya, Dato’ Bahaman memang memusuhi Inggeris kerana menyekat dan menuduh beliau (dalam tahun 1889) memungut cukai secara haram dan memberi amaran, bahawa penerusan memungut cukai secara tradisi adalah terlarang, sedangkan itu adalah hak tradisi beliau sebagai pembesar di daerahnya. Inggeris juga menuduh beliau (pada tahun 1890) menulis surat kepada Residen Selangor, W. E. Maxwell meminta supaya Semantan dipersatukan dengan Selangor.   Walaupun beliau menyangkal tuduhan itu Sultan telah memerintahkan Orang Kaya itu menghadap baginda di Pekan. Orang Kaya itu enggan lalu menghilangkan diri di dalam hutan di tengah-tengah masyarakat orang-orang asli yang memang bersahabat baik dengan beliau, tetapi keluar apabila mengetahui orang-orangnya ditangkap oleh pasukan Desborough, menyerang pasukan itu dan membebaskan orang-orangnya. Berikutan daripada itu pada 24 Disember, 1891, Tengku Mahmud (Tengku Besar) bersama-sama dengan 200 orang pengikutnya, dan Hugh Clifford bersama-sama dengan 60 orang Sikh di bawah pimpinan Kapten Summer telah mengaturkan gerakan untuk menyerang dan menangkap Dato’ Bahaman dan orang-orangnya. Bagaimanapun gerakan ini menemui kegagalan setibanya di Kelubi kerana keengganan pasukan Melayu bekerjasama dengan pasukan polis Sikh. Berikutan dari kegagalan itu “Gerakan Sultan” dilancarkan pada 22 Januari, 1892 dengan kekuatan 800 orang (140 daripadanya mempunyai senjatapi) yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Tidak terdapat sebarang aktiviti pihak Dato’ Bahaman di sepanjang bulan Februari itu. Untuk sementara daerah Semantan diletakkan di bawah jagaan Abdullah Bera. Tiba-tiba, pada hari ini dalam tahun 1892 Dato’ Bahaman menyerang lagi dan berjaya menawan semula Lubuk Terua. Dalam serangan itu Abdullah Bera balik ke Bera dan Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris.  Bagaimanapun, kejayaan Dato’ Bahaman itu hanya sementara kerana tidak lama kemudian pihak Inggeris mengambil tindakan balas dengan menghantar satu pasukan seramai 300 orang yang diketuai oleh Tengku Ali, Clifford dan Wise (Majistret di Temerloh). Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya terpaksa mengundurkan diri sebagai satu strategi untuk melanjutkan penentangannya. Penentangan beliau itu ternyata telah merebak ke seluruh Pahang dengan melibatkan banyak lagi tokoh yang seperjuangan dengan beliau seperti anaknya Mat Kilau, Panglima Muda Jempul, Tok Gajah, Tok Jelai, Mat Kelubi dan lain-lain.

6) Rentap

Tarikh Peristiwa pada 1853-04-26

http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=8435

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1853,  ketua suku Dayak Laut  yang  terkenal  bernama  Rentap atau  nama asalnya  Libau  bersama-sama  pengikutnya  telah  menyerang  kubu  milik  kerajaan James  Brooke  di  Nanga Skrang,  Sarawak. Nama  Rentap  diberikan kerana  kegagahan beliau. Ia membawa  maksud  ‘penggoncang  dunia’.    Pemerintahan  James  Brooke  ditentang  kerana  telah  mencabuli  adat  resam  kaum  Iban. Pemerintah  itu telah    melarang  suku  kaum  Iban  berdagang  di  persisir  pantai  bagi  menghalang  mereka  dari  bercampur-gaul  dengan  orang  Melayu. Kekalahan  kerajaan  James  Brooke  di Nanga  Skrang,  telah  menyemarakkan  lagi  semangat  perjuangan  Rentap. Beliau  telah  membina  kubu  di  atas  Gunung  Sadok  dan menggelarkan  dirinya  sebagai  ‘Raja  Darat  Sarawak’. Ini  telah  menggugat  kedudukan  Brooke  yang  sebelum  ini bergelar ‘Raja  Sarawak’. Dalam  bulan  Jun  1857, Brooke  telah  mengerahkan  seramai  3,000 orang  Than  dan  500  orang  Melayu  untuk  menyerang  Rentap,  namun gagal. Akhirnya, pada September  1861, Brooke  berjaya  memusnahkan  kubu  Rentap. Pada  28  Oktober  1861,  kubu  dan  perkampungan  Rentap  itu  musnah  dibakar  dan  ini  memaksa  Rentap  melarikan  diri ke  Entabai, dekat  Sungai  Kanowit.  Walaubagaimanapun,  perjuangan  Rentap  dan  pengikutnya melambangkan  semangat juang yang jitu dalam  membela  adat resam  dan  budaya  serta  hak  kaum  mereka  di  bumi kelahiran  mereka  sendiri.

Advertisements
Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s